~J.L0W !N Da H0u$e~ (jasonlow.multiply.com)

Blog EntryGelombang Korea Mantapkan Dasar Pandang Ke TimurMar 30, '06 9:31 AM
for everyone
Gelombang Korea Mantapkan Dasar Pandang Ke Timur
KEBELAKANGAN ini, Korean Wave (Gelombang Korea) seolah-olah melanda seluruh dunia terutamanya rantau Asia.

Di Malaysia, Vietnam, Jepun mahupun China, golongan remaja atau tua seolah-olah hanyut dalam gelombang tersebut sejak drama bersiri Winter Sonata menjadi popular.

Namun sejauh mana Malaysia menggunakan gelombang Korea ini untuk memantapkan Dasar Pandang Ke Timur (DPT) yang diumumkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 8 Februari 1982 semasa Persidangan Tahunan Kali Ke-5 Malaysia-Japan Economic Association (Majeca) dan Japan-Malaysia Economic Association (Jameca), di Kuala Lumpur.

Dasar ini memberi penekanan kepada sikap bekerja, disiplin, rasa tanggungjawab, nilai pekerjaan, kesetiaan dan nilai pengurusan yang dianggap akan membolehkan Malaysia menjadi negara industri maju di Asia selepas Jepun dan Korea Selatan.

DPT telah dilancarkan ke Korea pada 9 Ogos 1983 oleh Dr. Mahathir ketika Majlis Makan Malam bersama bekas Presiden Korea Selatan, Chun Doo Hwan di Seoul yang antara lain masih menekankan elemen yang sama.

Mengikut data Unit Dasar Pandang ke Timur, Jabatan Perkhidmatan Awam pada tahun 2005, seramai 85 pelajar telah dihantar melalui Program Pendidikan Teknikal (PPT) manakala di bawah Program Pendidikan Akademik (PPA), seramai hampir 15 pelajar dihantar setiap tahun sehingga tahun 1997 ketika krisis ekonomi melanda Asia.

Selepas tahun 1997, program tersebut seolah-olah dihentikan walaupun pelajarnya dikatakan diserap di bawah program PPT.

Ini berbeza dengan program DPT ke Jepun di mana penghantaran pelajar diteruskan di bawah program ini malahan bilangannya meningkat sehingga 183 orang pada tahun 2005.

Program PPT sebenarnya memerlukan `penambahbaikan' atau dalam erti kata lain perubahan drastik.

Mengikut program tersebut, pelajar yang terpilih perlu mengikuti kursus intensif bahasa Korea di Universiti Teknologi Mara (UiTM) selama tiga bulan sebelum menyambung kursus tersebut di Seoul National University (SNU) selama 18 bulan.

Selepas menamatkan kursus sijil bahasa, walaupun ada beberapa institusi yang diiktiraf oleh kerajaan, pelajar-pelajar ini akan dihantar hanya ke sebuah kolej teknikal iaitu Dongyang Technical College, Seoul untuk mengikuti kursus diploma selama dua tahun atas alasan pihak pentadbiran kolej ini memahami `keperluan pelajar Malaysia'.

Di sini, pelajar akan bersama pelajar Korea yang membuat persediaan untuk menjadi juruteknik atau pekerjaan bersifat teknikal di negara mereka.

Justeru modul yang diajar di kolej teknikal ini adalah lebih bersifat praktikal supaya pelajar Korea Selatan dapat mengadaptasi apa yang dipelajari sewaktu bekerja kemudian.

Bagi pelajar Malaysia pula, mereka berada dalam dilema iaitu bagaimana untuk menggunakan apa yang dipelajari di kolej teknikal ini selama dua tahun ketika menyambung kursus ijazah sarjana muda di universiti Korea Selatan kerana mereka akan terus melompat ke tahun ketiga sewaktu mengikuti kursus tersebut.

Persaingan di universiti menjadi sengit terutama penguasaan ke atas elemen teori dan teknik apatah lagi kebanyakan yang dipelajari di kursus sijil bahasa dan diploma sukar digunakan sewaktu berada di universiti.

Perbezaan sistem pendidikan antara Malaysia dan Korea Selatan bukanlah penghalang kepada penghantaran pelajar ke universiti Korea tetapi lebih daripada itu, sejauh mana pelajar Malaysia diberi pendedahan secukupnya sebelum pelepasan mereka ke Korea Selatan.

Sementara itu, seiring dengan kehadiran gelombang Korea hari ini, kerajaan Malaysia mesti mempelbagaikan penghantaran pelajar ke Korea.

Sebagai strategi jangka panjang, apakah penubuhan Ambang Asuhan Korea (AAK) relevan?

Adakah Samsung yang dilihat mengemudi pasaran industri dan teknologi bukan sahaja di Malaysia malahan hampir di seluruh dunia belum bersedia untuk melabur membangunkan program yang berteraskan Korea di Malaysia jika AAK direalisasikan.

Penumpuan berlebihan ke atas kedua-dua buah negara ini boleh mendatangkan risiko jangka panjang.

Gelombang Korea perlu dilihat melangkaui elemen jaringan media popular semata-mata.

Dengan dasar kerajaan Korea dan usaha beberapa institusi untuk mendekati negara-negara ASEAN, Malaysia perlu mengorak langkah lebih pantas, melipatgandakan usaha bergerak seiringan dengan gelombang ini untuk membawa manfaat secara dua hala.

Buat permulaan, PPA perlu diasingkan semula dari PPT. Pengajian di fakulti sains kemasyarakatan universiti di Korea dianggap bernilai dan ada pelajar yang boleh digalakkan untuk mengambil kursus ini sebagaimana yang dilakukan ke atas program DPT ke Jepun.

Ini termasuklah bidang sains politik, sosiologi, ekonomi mahupun kerja sosial serta Pengajian Asia Timur sendiri.

Sumber : Utusan Malaysia
Oleh : Sivamurugan Pandian


Add a Comment
   
© 2008 Multiply, Inc.    About · Blog · Terms · Privacy · Corp Info · Contact Us · Help

Modified from Mediterranean by John Whittet.
Originally on the CSS Zen Garden.
Used and Modified with permission from the author.